TERIMA KASIH KERANA MELAYARI BLOG AWANG GONENG. BLOG INI MENGANDUNGI PAPARAN AKTIVITI SAYA SEBAGAI PENJAWAT AWAM SEMASA BERTUGAS DI PELBAGAI NEGERI DI SEMENANJUNG MALAYSIA. MUNGKIN ADA KISAH-KISAH YANG SAYA PAPARKAN DI SINI BERGUNA UNTUK RUJUKAN TUAN PUAN. SELAMAT MEMBACA, MENONTON GAMBAR DAN KLIP VIDEO YANG ADA DAN TINGGALKAN KOMEN DIRUANGAN YANG DISEDIAKAN. TERIMA KASIH.

Friday, January 10, 2014

Guna KISS untuk Berita Radio. Hujan memang turun mana ada naik.

Hari ini saya hendak bercakap mengenai penulisan Berita Radio.  Ramai adik-adik pemberita khususnya yang masih berkhidmat di RTM dan Bahagian Penyiaran JAKIM bertanya saya bagaimana sebenarnya bentuk penulisan berita radio yang baik.  Ada yang bertanya tu sudah berkhidmat puluhan tahun tetapi masih tidak jelas apakah yang mereka tulis sebelum ini sesuai atau tidak  untuk siaran berita radio. 

Apa yang mereka amalkan sebelum ini ialah menulisnya dalam ayat yang pendek-pendek. Itu saja. Baiklah, saya akan memberi  sedikit petua bagaimana anda boleh menghasilkan satu buletin berita radio yang menarik.  Saya mendapati ramai wartawan atau pemberita media siaran--radio dan TV--sering terikut-ikut dengan cara penulisan media cetak seperti surat khabar. 

Untuk menghasilkan skrip berita radio yang baik, mereka mesti membuang cara penulisan akhbar.  Perkara ini berlaku kerana kebanyakan penyunting berita media siaran menggunakan bahan berita daripada wire copy, misalnya daripada agensi berita Bernama.  Ada sesetengah penyunting tu, copy paste sahaja.  Potong sikit sana sini.  Dah siap.  Tidak re write atau mengolah kembali supaya intro dan isinya segar dan terkini. Penulisan Bernama adalah untuk media cetak dan tidak sesuai untuk radio.  Kenapa demikian? 

Jawapannya ialah kerana siaran radio untuk didengar manakala akhbar untuk dibaca. Fungsi telinga dan mata berbeza.  Telinga mudah keliru dengan sesuatu perkataan yang disebut dan keupayaannya untuk 'menangkap' sesuatu perkataan itu kurang berbanding mata. Berita Radio juga didengar sepintas lalu dan penyampai tidak akan mengulanginya jika ada perkataan yang kita keliru. Berbanding akhbar, jika ada ayat yang kita tidak jelas, kita boleh mengulangi pembacaannya. 

Jadi, kunci pertama untuk menghasilkan penulisan berita radio yang baik ialah mudah, ringkas dan jelas maksudnya. Guna formula KISS, iaitu Keep it Short and Simple.

Gunakan perkataan yang mudah dan yang biasa kita sebut dalam perbualan. Ini kerana berita radio menggunakan bahasa percakapan sementara akhbar menggunakan bahasa persuratan.  Perhatikan bila kita bercakap.  Kita menggunakan bahasa yang mudah dan pendek-pendek.  Inilah yang perlu kita lakukan dalam penulisan berita radio. 

Jika kita tulis berita ikut surat khabar, sukar pendengar hendak faham kerana akhbar menggunakan ayat yang panjang.  Gunakan perkataan meninggal dunia untuk merujuk kepada kematian, bukan menghembuskan nafas terakhir.  Gunakan perkataan mengandung bukan hamil.  

Dalam perbualan dengan seseorang,  biasanya kita memberitahu, "Mat, ayah Zul dah meninggal malam tadi. Sakit jantung."  Bukannya, Mat, ayah Zul dah menghembuskan nafas terakhir malam tadi.  Demikian juga kita beritahu rakan, Isteriku dah mengandung, bukan isteriku dah hamil walaupun kedua-dua maksudnya sama.

Kita gunakan bahasa percakapan seharian namun bukan bahasa pasar.   Gunakan bahasa mudah dan elakkan bahasa yang tinggi-tinggi seperti kolaborasi (kerjasama), holistik (menyeluruh) dan Hypertensi (darah tinggi), diabetes (kencing manis) dan banyak lagi.  Ingat, berita radio didengar oleh pelbagai golongan masyarakat termasuk yang berpendidikan rendah.  Bukan semua pendengar radio berkelulusan tinggi. Jadi, sentiasa guna ayat mudah kerana sifat semulajadi manusia suka perkara yang mudah. 

Seterusnya, gunakan ayat ayat yang pendek dan jelas maksudnya.  Ayat yang pendek memudahkan pendengar memahaminya dan senang bagi pembaca berita menyampaikannya. Jangan sampai pembaca berita semput kerana ayat yang kita gunakan panjang berjela-jela.   

Sifat Berita Radio ialah media sekarang. Maksudnya, berita boleh terus dilaporkan ketika kejadian berlaku.  Oleh itu, gunakan ayat aktif berbanding pasif.  

Contoh: Polis merampas dadah bernilai 2 juta dalam serbuan...(ayat aktif)

                Dadah bernilai 2 juta ringgit dirampas...(ayat pasif)

Ayat aktif menggambar kejadian sedang berlaku sementara ayat pasif menggambarkan kejadian sudah berlaku.

Elakkan, penggunaan ayat Perdana Menteri hari ini...sebaliknya Perdana Menteri sebentar tadi merasmikan....

Berita Radio menggunakan ayat yang padat dan padu. Perkataan tidak perlu seharusnya dibuang. Bahasa sastera jangan sesekali guna. Contoh: Hujan yang turun dengan lebatnya beberapa hari lalu mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air.   Hujan memang turun. Belum pernah lagi saya tengok hujan naik. Jika ada, tentulah ia menjadi berita besar.

Jadi, cukup tulis Hujan lebat beberapa hari  lalu mengakibatkan beberapa kawasan...

Saya rasa cukup sekadar ini dulu. Banyak lagi tips yang perlu diketahui.  Jumpa lagi dalam keluaran akan datang.






No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails